31 Ogos 2010

MERDEKA!!


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah..Hari ini genaplah 53  tahun usia kemerdekaan bumi bertuah ini. Saban tahun, tarikh 31 ogos disambut dengan pelbagai acara demi menampakkan semangat cintakan negara dan membangkitkan semangat patriotik dalam diri setiap warganegara. Namun disebalik 53 tahun mengecapi dan menikmati kemerdekaan, masih ada masyarakat di negara ini terutama generasi muda yang masih belum memahami dan memenuhi erti kemerdekaan sebenar menurut Islam.

Apabila berbicara tentang erti kemerdekaan, setiap individu mempunyai pandangan berbeza dan kefahaman masing-masing. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun demikian, pengertian kemerdekaan sebenarnya adalah sangat luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara dari cengkaman kuasa asing.

Menurut Pendita Za’aba, kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” 

Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda, kemerdekaan fizikal tidak berguna. Orang yang berjiwa merdeka adalah orang yang tidak terbelenggu dengan nafsu, ketamakan dan kecintaan dunia (hubb al-dunya).  Orang yang berminda merdeka pula sentiasa berfikiran terbuka dan rasional. Tidak taassub dan fanatik terhadap mazhab, aliran, parti, atau orang tertentu walaupun ia adalah gurunya sendiri. Taqlid buta adalah sesuatu yang tercela dalam Islam. 

Walaupun negara telah mencapai 53 tahun merdeka, sehingga kini kita dapat melihat penjajahan minda masih berterusan dan dominan dalam pemikiran anak-anak muda. Tidak hairanlah kalau kita melihat anak-anak muda berpeluk, bercium ditempat-tempat terbuka dan khalayak ramai, berpesta dengan minuman keras dan bercampur antara lelaki dan perempuan, samseng jalanan dan sebagainya. Apakah ini dikatakan “kebebasan” atau “kemerdekaan”? Kemerdekaan yang boleh merosakkan diri, agama, masyarakat dan negara. Negara Merdeka !! Tetapi anak-anak muda (bukan semua) Hancur!! 

Oleh itu marilah kita menghayati kemerdekaan yang sebenar menurut Islam sepertimana yang terkandung di dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

 Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Justeru itu, kemerdekaan yang sebenar ialah membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia dan membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam. Akhirnya, marilah kita membulatkan tekad dan keazaman untuk mengisi nikmat hidup dalam kemerdekaan ini dengan meningkatkan lagi keimanan dan dan ketakwaan kita kepada Allah. Ayuhlah kita sama-sama mendidik diri agar terus istiqamah dalam mengabdikan diri kepada Allah sebagai Pencipta.

Wallahu ‘Alam…

30 Ogos 2010

Sedarkah Kita

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah b Abbas r.a., bahawa Rasullulah s.a.w bersabda yang bermaksud, Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari.”

Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang bergelak ketawa.

Maka berkata Izrail: Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa"

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal mengenai mati dan hubungannya dengan malaikat maut.

1 hari = 24 jam = 1440 minit
1440 minit/70 kali malaikat menjenguk kita

= 20.571 minit
INI BERMAKNA MALAIKAT MAUT MENZIARAHI KITA SETIAP 21 MINIT

WALLAHUALLAM. . .

26 Ogos 2010

Hati-Radar yang ajaib

Pernahkah anda rasa berdebar-debar, gelisah, tidak tenteram, tidak sedap hati dan sebagainya?
Semua fenomena itu sebenarnya adalah isyarat yang dipancarkan oleh hati seseorang bahawa ada sesuatu yang menjadi ancaman kepada diri manusia dan ianya dapat dikesan oleh hati.

Sabda Rasullulah s.a.w:
"Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Dan daging yang dimaksudkan adalah hati."

Hati adalah ibarat raja bagi tubuh badan manusia. Di sinilah tersimpan tenaga yang hebat seperti pemikiran dan tenaga emosi. Jika hati seseorang itu diisi dengan sifat mahmudah(baik) maka hebatlah seluruh anggota badannya dan akan melahirkan seseorang yang berakhlak mulia. Jika hati telah dikotori dengan sifat mazmumah(keji) maka rosaklah peribadi dan akhlak seseorang itu.

Hati adalah radar yang hebat untuk mengesan perbuatan manusia, sama ada mengesan perkara yang baik atau buruk. Apabila kita melakukan perbuatan yang berdosa, kita akan mudah untuk rasa berdebar-debar dan cemas.Seterusnya ia akan menyebabkan kita rasa gelisah dan tertekan.


Isyarat ini sebenarnya bertujuan untuk menyuruh supaya seseorang untuk kembali pada Allah. Apabila kita memohon keampunan dan bertaubat maka hati kita akan kembali tenang.Hati yang berpenyakit dari segi batin perlu dirawat seberapa segera kerana ianya bukan sahaja memberikan kemudaratan pada ketenteraman jiwa malah boleh menyebabkan penyakit pada anggota badan.


Bagaimana hati mendapat tenaga dan kekuatan?

Makanan hati adalah taqwa kepada Allah.Zikir, membaca Al-Quran, menuntut ilmu agama, memberi zakat, bersedekah dan berbaik sangka adalah makanan hati yang enak dan lazat. Jika hati tidak diberi makan, maka seseorang itu akan menghidap penyakit batin dan zahir.Dengan cara memberikan makanan pada hati,barulah seseorang berhak untuk memperolehi kebahagiaan.

Apakah cara untuk merawat hati yang berpenyakit dan menghidupkan hati yang mati?

Caranya ialah dengan bertaubat.Meminta keampunan, mengingati kematian dan sentiasa melakukan amal kebajikan.Ini akan memulihkan dan menghidupkan semula hati.

Hanya dengan mengingati Allah seperti dalam firman Allah;  
"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." (Ar-Ra’d :28)

Apabila hati kita mendustakan ayat-ayat Allah maka termasuklah kita dalam kategori hati yang berpenyakit sepertimana firmanNya; 
"Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta."(Al-Baqarah:10)

Oleh itu,apabila hati kita mengesan sesuatu yang tidak menyenangkan maka marilah kita segera kembali kepada Allah sebelum hati kita menjadi keras.Ingatlah pesananNya yang bermaksud: 
"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik."(Al-Hadid:16)

25 Ogos 2010

Bilakah Doaku Akan Dimakbul??

Apabila Allah cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu...
Firman Allah:"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu(Muhammad) mengenai Aku, maka beritahulah,sesungguhnya Aku hampir kepada mereka, Aku perkenankan doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka beroleh kebenaran."

Apabila Dia lambat makbulkan doamu, Dia ingin mengujimu...
Menurut al-Khatabi:"Jika Allah tidak menjawab doa seseorang, Dia akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau mengelakkan dirinya dari kecelakaan atau menggantikannya dengan pahala."
 
Apabila Dia tidak makbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu...
Firman Allah:"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Maka ingatlah Allah jualah yang Maha Mengetahui tentang semua itu, sedang kamu tidak mengetahuinya."(al-Baqarah; 216)

Oleh itu, sentiasalah bersangka baik terhadap Allah...
Firman Allah:"Aku bersama sangkaan hambaKu terhadapKu, maka bersangkalah tentangku apa sahaja yang kamu ingini."(Hadis Qudsi)

22 Ogos 2010

Lima Sahabat Sejati

Dah lama aku melupakan kau. Tak macam dulu. Contohnya tadi, aku betul-betul lupa, Su. Pagi tu aku bangun lambat. Dekat pukul lapan. Kelam-kabut aku bersiap untuk ke kelas. Apa tidaknya, malam tadi aku tidak tidur semalaman. Assignment bertimbun. Report makmal latihan la, latihan kaedah berangka la, ulasan buku la. Tu belum lagi dengan preparation kuiz esok. Lecture2 ni pun satu, macam dah pakat ramai-ramai je nak bagi assignment banyak-banyak. Diaorang ingat aku ni apa? Robot ke? Menyesal aku tak siapkan awal-awal assignment tu. Kalau tak, takde la jadi macamni. Minta maaf Su, aku bukannya tak nak jumpa kau, tapi kau faham-faham jelah keadaan aku.

Bukan kau sorang je aku lama tak jumpa,Su. Zu pun dah lama aku tak jenguk. Sorry bebanyak lah Zu. Aku sekarang lambat balik kelas. Pukul satu. Tupun kalau takde kelas petang. Kalau ade kelas petang, harus aku terpeleot. Balik je, tengah lapar-lapar tu, aku terus je pergi kedai Mak Ngah. Ala, kedai nasi lemak power tu. Lepas pekena nasi lemak Mak Ngah, aku tak lengah, terus tidur. Kadang-kadang sekejap, biasanya lama. Aku tau Zu, dulu-dulu aku rajin jumpa kau time-time macam ni, tapi sekarang aku pun tak tau kenapa aku tak dapat jumpa kau. Aku takde masa Zu.

As, kau sorang lagi kawan rapat aku dulu. Nampak macam aku dah mengabaikan kau je sekarang ni. Aku sibuk As. Petang-petang aku pergi library, study. Takpun aku ada meeting time tu. Kau kan tau, aku Presiden Kelab Kebersihan. Kejap-kejap ada je program. Aku kene jaga anak buah aku tu. Diaorang tu bukan tau sangat buat kerja. Meeting pulak tu, bukan tau nak sekejap, mesti lajak sejam dua punya. Kalau meeting start pukul 4, harus pukul 6 baru settle. Tu belum kira borak-borak kosong lagi. Diaorang ni kalau meeting tak lama, tak mahasiswa la kononnya. 

Mag pun aku dah ingat-ingat lupa.Agaknya sebab engkau ni ganjil, kot. Yang lain tak ganjil macam kau. Macam mana aku nak jumpa kau, Mag. Sekarang ni, latihan bola tengah giat. Coach nak pilih pemain-pemain handal aje untuk team dia. So, latihan pun dipanjangkan. Aku pulak, mestilah berlatih bersungguh-sungguh. Aku dulu pemain sekolah. Kalau aku tak terpilih, malu besar la aku. Mana aku nak letak muka aku ni. Kawan-kawan aku semuanya kaki bola. Diaorang semua balik lewat. Main sampai hari gelap. Kalau aku balik awal, alamat balik sorang-sorang la aku. Aku dah la menumpang motor orang. Balik aje dari main bola, aku tak terus mandi. Mana boleh mandi masa berpeluh, panau nanti. Agak-agak penat dah hilang, baru aku mandi. Lepas mandi, member-member aku semua ajak keluar makan. 

Aku tau ada temujanji dengan Is malam ni, pukul lapan setengah. Tapi member-member aku dah tunggu. Kalau aku tak pergi, nanti diaorang kata aku  sombong la, macam-macam. Tu yang aku tak nak dengar tu. Dah tu, kitaorang lepas makan, sembang la pulak. Lepas satu topik, satu topik keluar. Balik lewat malam. Layan pulak VCD Hindustan lepas tu. Is, sorry.. Last-last semua aku tinggalkan. 

Sahabat-sahabat semua, nama sebenar kawan-kawan aku tu, Su, Zu, As, Mag dan Is masing-masing adalah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Korang semua janganlah jadi macam aku. Jagalah mereka dengan sepenuh jiwa dan raga. Mereka semua adalah kawan sejati kita yang sebenar, yang akan backing kita kat akhirat nanti. Ingatlah, amalan  pertama yang akan dihisab di akhirat kelak adalah tentang solat kita. Semoga menjadi iktibar dan pengajaran kepada kita semua.


21 Ogos 2010

Andai ini Ramadhanmu yang terakhir

Andai kau tahu ini ramadhan yang terakhir,
tentu siangnya engkau sibuk berzikir,
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu,
mendayu..merayu pada-Nya, Tuhan yang satu,

Andai kau tahu ini ramadhan terakhir,
tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu,
solat yang dikerjakan, sungguh khusyuk dan tawadu',
tubuh dan qalbu bersatu memperhambakan diri,
menghadap Rabbul Jalil, menangisi kecurangan janji,
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi rabbila 'alamin"

Andai kau tahu ini ramadhan terakhir,
tak akan kau sia-siakan walau sesaat yang berlalu,
setiap masa tak akan dibiarkan begitu sahaja,
di setiap kesempatan dan juga masa yang terluang,
pasti alunan al-quran yang kau dendangkan.

Andai kau tahu ini ramadhan terakhir,
tentu malammu engkau sibukkan dengan tarawih, qiamullail, tahajjud,
mengadu, merintih, meminta bekas kasihan,
"sesungguhnya aku tidak layak untuk syurga-MU
tetapi aku juga tidak sanggup ke neraka-MU.

Andai kau tahu ini ramadhan terakhir,
tentu dirimu tak akan melupakan mereka  yang tersayang,
mari meriahkan ramadhan,
mencari dan memburu suatu malam idaman,
yang lebih baik dari seribu bulan.

Andai kau tahu ini ramadhan terakhir,
tentu engkau bakal menyediakan diri zahir dan batin,
mempersiapkan diri, rohani dan jasmani,
menanti-nanti jemputan Izrail,
di kiri dan kanan, lorong-lorong redha Ar-Rahman.

Duhai Ilahi,
andai ini ramadhan terakhir buat kami,
jadikanlah ia ramadhan yang paling bererti, paling berseri,
menerangi kegelapan hati kami,
semoga  bakal mewarnai kami disana nanti.

Namun teman...
tak akan ada manusia yang mengetahui,
apakah ramadhan ini merupakan yang terakhir bagi dirinya,
yang mampu bagi seorang hamba
hanyalah berusaha, bersedia, mengharap belas kasih-Nya,
Ya Allah, ku tak layak kesyurga-Mu,
namun tak pula aku sanggup keneraka-Mu,
kamilah hamba yang mengharap belas dari-Mu.

"Ya Allah, jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang bertakwa,
ampunkanlah dosa-dosa kami dan kedua ibu bapa kami,
serta dosa semua umat yang masih hidup mahupun yang telah meninggal.."
Amin...

18 Ogos 2010

Salam Ramadhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, setinggi pujian dipanjatkan kepadaNya atas limpahan rahmat dan kasih sayangNya kepada kita, sehingga berpeluang sekali lagi bertemu dengan bulan ramadhan al-Mubarak. Masih lagi diberi peluang untuk melipatgandakan pahala. Masih lagi diberikan peluang untuk menyucikan diri dari debu  dosa.

Adakah ramadhan kita kali ini lebih baik? Atau sama? Atau lebih teruk? Adakah puasa kita sekadar mendapat lapar dan dahaga sahaja? Tentunya tidak. Sudah tentu kita menginginkan sesuatu daripadanya.

"wahai orang yang beriman, diwajibkan keatasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas umat terdahulu, mudah-mudahan kamu bertakwa"

Firman Allah yang cukup popular dimana arahan yang mewajibkan puasa keatas umat Islam. Semoga puasa kita kali ini mamou menjadikan kita hamba yang bertakwa bukan hanya mendapat lapar dan dahaga. Sama-samalah kita mempertingkatkan amal ibadah kita pada Allah s.w.t. Layarilah ramadhan tahun ini umpama ini ramadhan yang terakhir.

Semoga sahabat-sahabat semua dapat memanfaatkan sepenuhnya tempoh pentarbiahan di bulan yang mulia ini. Mensia-siakan peluang ini adalah satu kerugian yang sangat besar. Semoga ramadhan kali ini lebih baik dari ramadhan sebelunnya.

"Ramadhan Yang Sama, Natijah Yang Berbeza"