04 Januari 2011

Islamic Couple

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Alhamdulillah, nak berkongsi satu kisah menarik yang dicopy paste dari sebuah blog. Selamat membaca..

Kisahnya mengenai 3 org, Syafiq, Safura dan Muhammad. Syafiq dan Safura ni belajar sama2, kat SAM Bestari. Dah lame2 tu... Syafiq jatuh hati pada keayuan Safura. Matanya mengalahkan Zinnirah. Wajahnya berseri-seri dengan cahaya keimanan. Pergh!! Cantik giler la nak citer. Tapi, Syafiq cuba tahan. Dia x leh luahkan perasaan dia kat Safura sbb nanti takut kena tangkap ngan ajk maksiat. Beberapa tahun berlalu... Akhirnya, bila Syafiq berada di Tingkatan 5, dia sudah x leh tahan. Dia mengatur langkah... dan akhirnya, Safura tewas pada pujuk rayunya.

Walau macam manapun, diorang ni sedar, yang diorang ni orang islam. Islam x bg umatnya couple2 ni. Jd diorg pakt2 la. Diorang ni nak wat satu revolusi dalam couple. "COUPLE ISLAMIC". Asal keluar je, pergi tempat terbuka. X men tmpt glp2 nih. Bukan tu je, Safura kena pakai tudung labuh. Syafiq pulak pakai serban ngan jubah. Lepas tu keluar bukan buang masa, keluar bawak Al-Quran. Berhenti kat kedai makan, tadarrus lagi. Jalan pulak, mane pegang2 tangan, diorang ikut cara nabi Musa. Lelaki kat depan, perempuan kat belakang.  Bila balik rumah, miss call pagi2. Suruh qiamullail. Hah! kan islamic punya couple tuh.

Setelah setahun mengamalkan taktik sedemikian, Syafiq ditakdirkan bertemu ngan Muhammad. Masa ni Syafiq ngan Safura tengah tadarrus kat RFC. Muhammad tiba2 datang sebab x de tmpt duduk. Bila dah duduk tu, Muhammad tanya," Have you married?" "No", jawab Safura. "So, why you sit together with this ajnabi alone here", tanya Muhammad. "Kitorang couple, tapi islamic way" jwb Syafiq. Muhammad hanya tersenyum mendengar jawapan itu.

Muhammad pun memulakan ceritanya... "ak ni muallaf. Asal dulu ak kristian. Tinggal kat singapore. Dulu, ak suka giler makan babi. Klu sehari x mkan, pengsan ak. Pernah sekali mak ak lupa beli babi, ak masuk wad malam tu. Tetapi, alhamdulillah, Allah bukak pintu hati ak untuk terima hidayah-Nya. Bila ak masuk islam, ak dapat tahu, dalam islam x leh makan babi. Aduh, pening kepala ak. Camne ak nak wat ni?? Seminggu ak masuk hospital lepas masuk islam. Klu zaman Rasulullah dulu ade peringkat2 dia. Tapi ak.. mane ada. Jd, time kat hospital tu ak pikir.

Akhirnya, ak jumpa satu jalan keluar. Ak nak islamkan babi tu. Ak beli seekor anak babi. Dari kecik ak jaga die. Seekor lalat pun ak x bg dekat. Setiap jam ak mandikan dia. Lepas 3 hari, ak bisikkan kat telinga dia dua kalimah syahadah. Lps tu, tiap2 hari ak bagi tazkirah kat babi tu. Asal dia berak ak vacuum terus. Camnilah kehidupan ak dan babi tu buat 2 tahun. Lps dua tahun, mase yg ditunggu2 tiba. Masa untuk sembelih babi ni. Tengok2 babi ni x de leher. Tp, lantaklah. Ak tibai je sebab dah 2 tahun x makan babi ni. Lpas tu, ak pun masak la bakut teh. Tgh2 makan, nampak seorang ustaz tengah jalan2. Muka macam lapar je. Ak pun ajak la dia makan. Ustaz!! jom makan. Babi islam nih"... Bile dgr kisah tu, Syafiq dan Safura pun sedar. Klu benda tu dah haram, ia tetap haram. Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas...

"Yang halal itu halal,yang haram itu haram, tiada istilah HALAM dalam Islam"

22 Disember 2010

Ubat Pencuci Dosa


Hassan Basri telah bercerita bahawa suatu hari dia bersama seorang pemuda ahli ibadah berkeliling melalui jalan-jalan kecil dan beberapa pekan di negeri Basrah. 

Tiba-tiba ia bertemu dengan seorang tabib yang sedang duduk diatas sebuah kerusi, di hadapannya ada beberapa orang lelaki, perempuan, dan kanak-kanak yang sedang memegang botol berisi air di tangan mereka. Setiap orang meminta tabib itu menyebutkan ramuan ubat bagi penyakit masing-masing. 

Hasan Basri mara ke depan tabib itu dan berkata: Tuan tabib! Adakah tuan mempunyai ubat yang boleh mencuci dosa, serta menyembuhkan penyakit hati?". 

Berkata Tabib itu: "Ya, saya ada". Lalu pemuda itu berkata: "Berilah pada saya". 


Berkata Tabib itu: "Ambillah dari saya sebagai ramuannya sebanyak 10 perkara iaitu: 

1. Ambil oleh mu akar kayu fakir dan akar kayu tawaduk

2. Campurkan dengan pencuci kotoran perut bernama taubat.

3. Lalu masukkan semua ke dalam lesung redha

4. Giling sampai halus dengan pengetam Qana'ah

5. Kemudian masukkan ke dalam periuk taqwa 

6. Tuangkan ke dalamnya air haya' (malu). 

7. Lalu didihkan dengan api mahabbah (cinta).

8. Selepas itu pindahkan dia ke dalam mangkuk syukur 

9. Kipaskan dengan kipas angin raja' (harapan). 

10. Kemudian minumlah dia dengan sudu  pujian 

Jika engkau perbuat semua itu, maka dia bermanfaat bagimu, untuk melindungi dirimu dari semua penyakit serta bala di dunia dan di akhirat". 


"Ya Rabb kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah engkau beri petunjuk kepada kami."(Ali Imran : 250)

01 Disember 2010

Tolong Sampaikan Sedekahku Ini Kepada Para Pelacur ..


Seorang ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya.Tiba-tiba sang guru berhenti membacakan hadis dan bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid terpinga-pinga.

“Muridku sekalian, aku punya hajat yang sangat besar.Adakah sesiapa yang mampu menunaikan hajatku ini?” Tanya sang murabbi pada seluruh muridnya.

Salah seorang murid kanan Syeikh menjawab dengan penuh adab, “Hajat apakah wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami,moga kami mampu untuk menunaikannya untuk Tuan Guru”.

Sang Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata “ Aku punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan,adakah sesiapa yang ingin membantuku mengagihkan harta ini?”

“Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru untuk mengagihkan harta ini”jawab Murid tersebut dengan bersemangat.

“Bolehkah Tuan Guru perincikan kepada siapakah harta ini akan dibahagikan?”seorang murid yang lain bertanya dengan lebih lanjut.

“Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian”Jawab Tuan Guru dengan tenang.

Keadaan menjadi bingit,masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.

“Aku sudah mengagakkan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku ini.Kalau begitu tidaklah mengapa.Biarlah aku sendiri yang pergi menyampaikannya.”Tuan Guru menjawab dengan tenang.

Para murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka tunjukkan.Salah seorang murid kanan Tuan Guru menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta tersebut.Mana mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang terkenal hebat dan wara’ ini dibiarkan masuk dan bertandang ke tempat hina seperti itu.

“Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripadaku(Nama tuan guru) dan doakan aku semoga diberkati oleh Allah taala” Tuan Guru memberikan pesanan kepada muridnya tersebut.

Maka sang murid yang mulia ini terus memulakan tugasnya dengan penuh tanda tanya di dalam pemikirannya mengapakah Tuan Guru ingin benar memberikan sedekah kepada golongan hina ini.Namun arahan Tuan Guru perlu dilaksanakan.Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran tersebut.

Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.

“Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu,saya adalah utusan daripada Tuan Guru fulan bin fulan ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian.Beliau berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala”.

Terkejut para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah kepada mereka.Setelah selesai tugasnya, sang murid terus beredar daripada kawasan hitam tersebut sambil menghelakan nafasnya.

Masing-masing ternanti-nanti apakah yang akan berlaku selanjutnya setelah peristiwa tersebut.Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan telah berlaku.Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di Masjid Tuan Guru.Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan.Barulah semua murid faham mengapakah Tuan Guru benar-benar ingin menyampaikan sedekah tersebut kepada golongan pelacur berkenaan.

Ini merupakah karamah yang Allah Taala kurniakan kepada Tuan Guru yang wara’ ini.Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.

http://www.nazrulnasir.com/



12 November 2010

Kisah Brownies dan Kehidupan


Dua orang remaja meminta kebenaran ayahnya untuk pergi menonton filem yang sudah ditonton oleh semua rakan-rakan mereka. Namun selepas membaca sedikit review filem itu di internet, ayah mereka menolak permintaan mereka. 

“Ah ayah, kenapa tak boleh?” gusar si adik. “Ia dilabel 13-SX, tapi kami berdua dah pun lebih dari 13 tahun!” 

Ayahnya membalas, “Ini kerana filem itu terdapat aksi-aksi yang tidak bermoral dan tidak patut ditonton oleh masyarakat umum.” 

“Tapi ayah, itu cuma sebahagian kecil daripada filem itu! Kawan-kawan kami cakap, filem itu ada 2 jam, tapi aksi-aksi itu hanya beberapa minit saja! Filem ini ada banyak pengajaran yang lebih besar, seperti kemenangan kebaikan di atas kejahatan, pengorbanan, dan keberanian. Review di laman web filem juga ada mengatakan demikian!” 

“Jawapan ayah ialah “tidak” dan ini adalah muktamad. Kamu boleh ajak kawan-kawan kamu datang ke rumah malam ini dan menonton video-video yang ada dalam koleksi video keluarga kita. Tapi kamu tidak boleh pergi menonton filem itu. End of discussion.”

Kedua-dua anak itu berjalan dengan muka masam mencuka ke ruang tamu dan duduk di atas sofa. Sambil membayangkan wajah pelakon filem yang tidak akan mereka tonton, mereka terdengar bunyi dari dapur; seperti bunyi ayah mereka menyediakan sesuatu. Tidak lama kemudian mereka mengecam bau aroma brownies sedang dimasak di dalam oven, dan si abang berkata kepada adiknya,

“Ayah mesti rasa bersalah, dan sekarang dia hendak mengambil hati kita dengan brownies tu. Mungkin kita boleh lembutkan hatinya dan memujuknya untuk benarkan kita pergi ke wayang menonton filem itu.” 

Kedua-dua remaja itu tidak kecewa. Tidak lama kemudian, ayah mereka muncul dari dapur dengan satu pinggan brownies yang masih panas dari oven, dan memberinya kepada kedua orang anaknya. Kedua-dua mereka mengambil satu brownies. 

Kemudian si ayah berkata, “Sebelum kamu semua makan, ayah nak cakap sesuatu. Ayah sayangkan kamu berdua.” Kedua-dua remaja itu saling berpandangan antara satu sama lain dengan senyuman penuh makna. “Ayah dah lembut hati,” bisik hati mereka.

“Itulah sebabnya ayah membuat brownies ini menggunakan bahan-bahan yang terbaik. Hampir kesemua bahan adalah organik; tepung organik yang terbaik, telur ayam Omega-3 gred A, gula organik yang terbaik, Vanilla Premium dan coklat yang paling enak.”

Brownies itu kelihatan sungguh melazatkan, dan kedua remaja itu menjadi semakin tidak sabar lagi untuk merasai kesedapannya kerana ditangguhkan oleh ‘khutbah’ ayahnya yang semakin panjang. 

“Tetapi ayah ingin berlaku jujur kepada kamu berdua. Ada satu bahan istimewa yang ayah letak dalam brownies itu yang tidak akan dijumpai oleh mana-mana brownies lain. Dan bahan itu ayah ambil dari belakang rumah kita. Tapi kamu jangan risau, ayah hanya letak sekelumit sahaja bahan itu ke dalam brownies kamu. Jumlahnya sangatlah sedikit. Jadi makanlah dan berikan pendapat kamu tentang resepi baru brownies ayah.” 

“Ayah, boleh tak ayah bagitahu apa bahan misteri tu sebelum kami mula makan?” tanya si abang.
“Kenapa? Sikit je jumlah bahan tu yang ayah letak. Satu sudu je. Kamu tak akan boleh perasan pun rasanya.” 

“Ala ayah.. bagitahu je la kat kami apa bahan tu” pinta si adik. 

“Jangan risau! Bahan tu organik, sama seperti bahan-bahan lain juga”. 

“Ayahh..” pinta kedua-dua beradik itu, serentak. 

“Ok, kalau kamu bersungguh-sungguh nak tahu. Kandungan misteri itu ialah…. Tahi anjing!!” 

Kedua-dua anak itu terus meletakkan kembali brownies itu ke dalam pinggan dan mengesat-ngesatkan tangan kanan mereka ke baju dengan penuh rasa menjijikkan. 

“Ayah! Ayah tahu tak yang ayah dah seksa kami dengan bau brownies yang sedap tu selama setengah jam. Bila dah siap, ayah kata ayah letak tahi anjing dalam brownies tu. Kami mana boleh makan bende tu”. 

“Kenapa tak boleh pula? Kandungan tahi tu sangat sedikit kalau dibandingkan dengan bahan-bahan lain. Takkan ada efek punya la.. Ia sudah pun dimasak bersama-sama bahan yang lain. Kamu takkan boleh perasan pun rasanya. Ia dah pun bersebati dengan bahan-bahan lain menjadi brownies. Jadi tunggu apa lagi, makanlah!” 

“Tak ayah… kami tetap taknak makan!” 

“Dan ini adalah sebab yang sama kenapa ayah tak benarkan kamu berdua pergi menonton filem tadi. Kamu tak boleh terima sedikit tahi anjing di dalam pinggan kamu, kenapa kamu boleh terima sedikit adegan tidak bermoral di dalam filem yang boleh mengotorkan hati kamu? Kita berdoa kepada Allah yang Dia akan menjaga kita dari mengikut hawa nafsu, tapi kenapa kita dengan akal fikiran yang waras boleh membenarkan diri kita menonton sesuatu yang boleh meninggalkan kesan kotor di dalam diri, fikiran dan hati kita dan terperangkap di dalam lubuk nafsu sesudah itu? Harap kamu berdua dapat pengajaran yang baik dari peristiwa ini”.

p/s~Hati kita mati sedikit demi sedikit disebabkan perbuatan kita. Benda atau perkara yang dianggap kecil sebenarnya boleh memberi impak yang besar dalam kehidupan tanpa kita sedari.

05 November 2010

Menangislah Disini Sebelum Menangis Disana


Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan. Nyaring berkumandang menyaring segala suara yang menyapa telinga ibu. Lonjak hatinya memuncak gembira penawar sakit dan lesu. Lalu bermulalah sebuah kehidupan yang mewarnai bumi berpenakan hati, berdakwatkan air mata.

Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya gemerlapan. Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di dunia. Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa. Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia akan gembira di akhirat.

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang. Alangkah sempitnya kuburku,keluh seorang Abid. Alangkah sedikitnya hartaku,kesal si hartawan. Dari mata yang mengitai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf mengharap kemenangan.

"Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang." (al- Hasr: 20)

Tangis adalah basahan hidup,justeru:
Hidup dimulakan dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sama ada yang membawa untung atau merugikan.

Sabda Rasulullah s.a.w.
"Ada dua titisan yang ALLAH cintai,pertama titisan darah para Syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH."
Nabi Muhammad bersabda lagi :
"Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH cintai daripada tasbih para wali." Oleh itu berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan bertakhta.

Nabi bersabda :
"Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."

Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulamak dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya.

Nabi Muhammad bersabda :
"Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."

Seorang Hukama pernah bersyair :
"Aku hairan dan pelik, melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan." Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal,takut-takut tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan.

Lupakah kita Nabi pernah bersabda :
"Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa,akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis."

Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka.

Namun, Allah s.a.w. telah berfirman :
" Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu,pada hal ianya amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (AL BAQARAH : 216)

Bukankah Nabi pernah bersabda:
"Neraka dipagari nikmat, syurga dipagari bala."

Menangislah wahai diri,agar senyumanmu banyak di kemudian hari. Kerana engkau belum tahu, nasibmu dipuak kanan atau dipuak kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah yang dikasihi Tuhan. Kenangilah, sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menangis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat.

Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata : "Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu."

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya :
"Kenapa engkau menangis?"
"Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang,"jawabnya.
Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidup, lalu berkata :
"Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu."

Ibnu Masud r.a.berkata :
"Seorang yang mengerti al Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur,dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah.

Tanyailah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur :
"Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah ALLAH."

Menangislah di sini, sebelum menangis di sana!!!.............

03 November 2010

Imam dan 20 sen

Beberapa tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid.
Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.
Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut.
"Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam tersebut bertanya kepada dirinya.
"Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup," kata Imam tersebut.
Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti.
Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut.
"Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen", kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.
"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya," pemandu bas tersebut berkata.
Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya perlu berlaku jujur."
Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam."
Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!!Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!"
Sahabat-sahabatku sekalian...
Apa yang anda dapat daripada peristiwa di atas? Ingatlah.. kita mungkin tidak melihat dan tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan menganggap kita sebagai tingkap untuk melihat ke dalam dunia Islam.
Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu terdapat contoh teladan yang baik.

29 Oktober 2010

JUMAAT YANG MULIA


Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “ Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.) Riwayat Muslim)Ulasan Hadis:

1. “Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada ALLAH melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).

2. Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat. .“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada ALLAH sesuatu kebaikan melainkan ALLAH memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan ALLAH melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmizi).

3. Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran ALLAH daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

4. Hari Jumaat ialah hari kebesaran Islam bagi orang mukmin. Hari yang mulia ditentukan buat umat Muhammad SAW. Pada hari itu kepada sesiapa yang berdoa ALLAH akan memakbulkan doanya. Setiap muslim dikehendaki mempersiapkan diri untuk hari Jumaat mulai dari hari Khamis dengan membersihkan pakaian dan memperbanyakkan tasbih serta memohon keampunan kepada ALLAH SWT pada malam Jumaat lagi. Kerana pada masa itu nilai mulianya sama dengan masa yang dirahsiakan oleh ALLAH pada hari Jumaat

5. Bermula khamis malam Jumaat, terdapat keistimewaan yang tertentu, antaranya ialah hari untuk umat Islam mempergandakan amal ibadah, berselawat atas Nabi, berdoa kerana di dalamnya ada satu waktu yang dikabulkan doanya, malah kita juga di galakkan untuk memenuhkan masa dengan perkara-perkara kebaikan dan ketaatan serta hindari dari melakukan maksiat. Sesungguhnya memuliakan perkara yang ALLAH muliakan nescaya ianya akan dimuliakan oleh ALLAH SWT.

6. Sama-samalah kita meraikan sepanjang hari Jumaat agar hari-hari yang lain jua dalam kebaikan. Sentiasa memperhatikan dan mennempatkan diri pada urusan dan perkara yang ALLAH dan RASUL cinta, moga kita sentiasa dalam pilihan yang terpilih olehNYA. WALLAHU’ALAM

26 Oktober 2010

ISLAM: DEENUL HAQ


Firman Allah SWT dalam ayat 208 surah al-Baqarah bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata."


Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Allah SWT mengarahkan umat Islam agar masuk yang bererti menerima Islam secara keseluruhannya tanpa berbelah bagi, ia juga adalah jelmaan daripada doa iftitah yang dibaca dalam setiap solat, 'sesungguhnya solatku, segala ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Tuhan sekelian alam ini'.


Begitulah juga dengan doa yang dibaca melalui surah al-Fatihah, 17 kali sehari semalam, iaitu tunjuklah kami jalan yang lurus.


Masuk atau menerima Islam secara keseluruhannya seperti dalam ayat di atas, boleh disimpulkan seperti di bawah ini :


1- Menerima Islam sebagai cara hidup.


2- Menerima Islam sebagai penyelesai kepada semua masalah.


3- Menyedari bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar di sisi Allah.


4- Menyedari bahawa apabila tidak beramal dengan Islam secara serius, akan ditimpakan musibah oleh Allah SWT.


5- Memahami dengan sebaik-baiknya, bahawa apabila tidak beramal dengan Islam, bererti tidak percaya kepada kemuliaan Allah selaku Pencipta, apabila tidak percaya kepada Allah, bermakna menempah tempat dalam neraka.


6- Bersedia untuk menjadikan Islam sebagai pegangan dari sudut pakaian, cara berfikir, pergaulan, usaha harian, kerjaya dengan melaksanakan segala tanggungjawab sebagai Muslim/Muslimah sejati di sisi Allah.


7- Memperuntukkan masa untuk belajar Islam serta berkorban segala keringat, masa, tenaga, pemikiran dan kesanggupan.


8- Berjanji kepada Allah untuk memelihara agama-Nya.


9- Berjanji untuk memelihara jiwa daripada sebarang naluri dan kecenderungan yang menyalahi syariat.


10- Berjanji untuk memelihara harta daripada terjebak menyokong musuh-musuh Allah yang akhirnya membunuh saudara-saudara seagama seperti membeli rokok keluaran syarikat orang-orang Yahudi.


11- Berjanji memelihara keturunan serta kehormatan sebagai orang Islam dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan imej serta peribadi sebagai seorang Muslim yang sungguh-sungguh untuk mendaulatkan Islam.


12- Berjanji untuk memelihara memelihara akal daripada berfikir yang boleh merosakkan kesucian agama Islam dan berfikir cara bagaimana boleh memajukannya.


13- Menterjemahkan lima slogan yang pernah difahami oleh generasi ulama awalan sebagai cara hidup sempurna, iaitu Allah matlamat kita, Rasul itu pemimpin dan contoh teladan kita, al-Quran itu perlembagaan kita, jihad itu adalah cara hidup kita dan mati pada jalan Allah adalah cita-cita kita yang tinggi lagi murni di sisi Allah.


p/s: saya menyeru kepada diri saya dan sahabat sekalian, marilah kita sama2 mengamalkan ajaran islam dengan seluruhnya.. jgnlah hanya mengamalkan dalam upacara ritual sahaja islamnya.. sdgkan Islam is a way of life.. setiap tindak-tanduk kita sehari-hari mestilah berdasarkan syariat Islam.. jadilah FULL TIME MUSLIM, THERE'S NO SUCH THING AS A PART-TIME MUSLIM...