31 Ogos 2010

MERDEKA!!


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah..Hari ini genaplah 53  tahun usia kemerdekaan bumi bertuah ini. Saban tahun, tarikh 31 ogos disambut dengan pelbagai acara demi menampakkan semangat cintakan negara dan membangkitkan semangat patriotik dalam diri setiap warganegara. Namun disebalik 53 tahun mengecapi dan menikmati kemerdekaan, masih ada masyarakat di negara ini terutama generasi muda yang masih belum memahami dan memenuhi erti kemerdekaan sebenar menurut Islam.

Apabila berbicara tentang erti kemerdekaan, setiap individu mempunyai pandangan berbeza dan kefahaman masing-masing. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun demikian, pengertian kemerdekaan sebenarnya adalah sangat luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara dari cengkaman kuasa asing.

Menurut Pendita Za’aba, kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” 

Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda, kemerdekaan fizikal tidak berguna. Orang yang berjiwa merdeka adalah orang yang tidak terbelenggu dengan nafsu, ketamakan dan kecintaan dunia (hubb al-dunya).  Orang yang berminda merdeka pula sentiasa berfikiran terbuka dan rasional. Tidak taassub dan fanatik terhadap mazhab, aliran, parti, atau orang tertentu walaupun ia adalah gurunya sendiri. Taqlid buta adalah sesuatu yang tercela dalam Islam. 

Walaupun negara telah mencapai 53 tahun merdeka, sehingga kini kita dapat melihat penjajahan minda masih berterusan dan dominan dalam pemikiran anak-anak muda. Tidak hairanlah kalau kita melihat anak-anak muda berpeluk, bercium ditempat-tempat terbuka dan khalayak ramai, berpesta dengan minuman keras dan bercampur antara lelaki dan perempuan, samseng jalanan dan sebagainya. Apakah ini dikatakan “kebebasan” atau “kemerdekaan”? Kemerdekaan yang boleh merosakkan diri, agama, masyarakat dan negara. Negara Merdeka !! Tetapi anak-anak muda (bukan semua) Hancur!! 

Oleh itu marilah kita menghayati kemerdekaan yang sebenar menurut Islam sepertimana yang terkandung di dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

 Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Justeru itu, kemerdekaan yang sebenar ialah membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia dan membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam. Akhirnya, marilah kita membulatkan tekad dan keazaman untuk mengisi nikmat hidup dalam kemerdekaan ini dengan meningkatkan lagi keimanan dan dan ketakwaan kita kepada Allah. Ayuhlah kita sama-sama mendidik diri agar terus istiqamah dalam mengabdikan diri kepada Allah sebagai Pencipta.

Wallahu ‘Alam…

Tiada ulasan: